HULU LANGAT - Permohonan penggantian jambatan konkrit yang runtuh akibat banjir di Kampung Sungai Lui Batu 23 di sini telah dimajukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun masih belum mendapat kelulusan.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, faktor kos tinggi bagi membina jambatan konkrit menyebabkan peruntukan itu masih belum diluluskan.
Menurutnya, pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya tiga rumah penduduk di kawasan berkenaan.
"Saya sendiri pun pernah turun di situ (melawat mereka yang terkesan) dan kita telah mengangkat perkara ini untuk membantu penduduk, tetapi tiada kelulusan diterima setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Sany memberitahu, buat sementara waktu, beliau meminta ketua kampung bertemu dengan pemilik tanah untuk membenarkan penduduk melalui laluan tanah berdekatan.
"Kita berharap, pemilik tanah membenarkan laluan dibuka kepada penduduk yang terkesan," tambahnya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seramai 10 penduduk membabitkan empat keluarga di Kampung Sungai Lui di sini menderita sejak tiga tahun lalu apabila jambatan konkrit yang menghubungkan kampung itu runtuh akibat banjir.
Seorang penduduk, Asmah Yasit, 61, berkata, sejak bah melanda, jambatan konkrit yang runtuh itu tidak pernah diganti baharu sekali gus menyukarkan penduduk keluar membeli barangan keperluan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!