TERLANJUR dan terlalu ikut hawa nafsu. Itulah antara alasan yang sering digunakan apabila seseorang itu telah melakukan maksiat terutamanya berkaitan penzinaan.
Menurut Islam, segala tindak-tanduk yang dilakukan manusia akan dinilai dan diberi ganjaran sama ada baik atau buruk walaupun ia sebesar zarah.
Jadi, apakah balasan atau hukuman yang telah ditetapkan Islam terhadap orang yang melakukan zina?
Merujuk kepada Al-Quran Al-Karim Muslimah terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd., zina merupakan salah satu dosa besar yang mengakibatkan kerosakan dan kebinasaan tamadun.
Jumhur ulama’ Fiqah berpendapat bahawa penetapan hukum zina ini dibuat secara berperingkat.
Peringkat pertama – Hukuman zina itu teguran ALLAH yang bernada cercaan seperti firman ALLAH dalam Surah an-Nisa’ ayat ke-16:
"Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji antara kamu, maka berilah hukuman kepada kedua-duanya. Jika kedua-duanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENERIMA TAUBAT, lagi MAHA PENYAYANG.”
Peringkat kedua – Ditingkatkan dalam bentuk hukuman kurungan rumah yang berlaku untuk beberapa waktu, kemudian ALLAH memberikan jalan yang lain iaitu menetapkan hukuman zina untuk 100 kali sebatan, jika yang melakukan adalah wanita dan lelaki yang belum berkahwin.
Timbul persoalan, apakah gugur hukuman zina itu walaupun sudah bertaubat?
Menjawab persoalan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukuman zina adalah salah satu daripada hukuman hudud yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak.
"Justeru zina termasuk dalam hukuman hudud yang diwajibkan ke atas penzina,” katanya.
Menurutnya lagi, jenayah hudud adalah hak ALLAH SWT dan syarak telah menentukan bahawa kesalahan mengenai hak ALLAH boleh diampunkan oleh ALLAH.
Katanya menurut pendapat pertama iaitu pandangan ulama Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Zahiri dan sebahagian ulama Mazhab Hambali menyatakan tidak gugur hukuman zina walaupun setelah bertaubat sama ada sebelum atau selepas diadukan kepada hakim.
Pendapat kedua pula merangkumi pandangan yang terpilih di sisi Mazhab Hambali dan pandangan sebahagian ulama Hanafi, Maliki dan Syafie serta pandangan Syeikh Ali Jum’ah yang menyatakan gugur hukuman zina setelah bertaubat selagi mana hukuman tersebut tidak diadukan kepada hakim.
"Adapun setelah hukuman itu telah diadukan kepada hakim, maka hukuman tersebut tidak boleh digugurkan lagi,” katanya.
"Justeru, perbuatan yang lalu itu termasuk dalam perkara yang disembunyikan aibnya oleh ALLAH SWT.
"Ini menunjukkan bahawa ALLAH masih memberinya peluang untuk bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka.
"Maka hendaklah pelakunya itu segera bertaubat kepada ALLAH dengan sebenar-sebenar taubat dan berjanji tidak akan mengulangi dosa tersebut lagi,” jelasnya.
Katanya lagi, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Setiap daripada umatku diampunkan dosanya melainkan golongan mujahirin (orang yang mendedahkan dosanya).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)