KUALA SELANGOR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor sedang mencari seorang wanita yang meninggalkan empat anaknya di sebuah rumah di daerah ini lebih setahun lalu.
Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor, Munira Abd Aziz berkata, wanita dikenali sebagai Nur Syida merupakan warga Indonesia meninggalkan anaknya itu kepada seorang lelaki yang juga bapa biologi kanak-kanak itu pada 17 Januari tahun lalu.
Menurutnya, empat beradik itu ialah Syafiq Azizi, 12, Muhammad Shafirul, 10, Muhammad Syafizan, 8 dan Naila Shafiqah berusia lima tahun.
"Bagaimanapun, ibu kepada empat beradik itu telah menghilangkan diri dan sehingga kini gagal dikesan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, JKM sedang berusaha mencari wanita terbabit bagi membolehkan pendaftaran dokumen dan penempatan kanak-kanak dapat dilakukan dengan sewajarnya.
Munira memberitahu, semua kanak-kanak itu telah dirujuk kepada JKM Daerah Kuala Selangor pada 11 Mac lalu dan kes itu disiasat di bawah peruntukan Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.
"Kanak-kanak telah di tempatkan dalam jagaan sementara orang yang layak dan sesuai di bawah peruntukan Seksyen 19 (2) bermuda 1 april lalu sehingga 20 Mei depan," tambah beliau.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung ibu kandung kanak-kanak ini boleh menyalurkan maklumat kepada JKM Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891495.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!