Bunuh teman wanita: Tertuduh dibenar rujuk pakar psikiatri

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KLANG - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan permohonan seorang pemuda didakwa membunuh kekasihnya yang hamil pada tahun lepas, dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Kebenaran itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub selepas mendengar permohonan dibuat pihak pembelaan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21.

Iklan
Iklan

Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata sebelum ini, pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada September 2023, namun ditolak.

"Majistret ketika itu berpandangan bahawa ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya untuk didengar dan diputuskan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd Radzuan tidak membuat sebarang bantahan berhubung permohonan yang dibuat pihak pembelaan menerusi prosiding sebutan kes itu hari ini.

Mohd Hirman kemudian menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan psikiatri dan dokumen lain.

Iklan

Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 21 Mac lepas, memerintahkan kes Muhammad Fakrul Aiman yang didakwa membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau di Sungai Besar, Sabak Bernam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.

Pada 1 Jun tahun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei tahun lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!