PUTRAJAYA - Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini, adalah berdasarkan maklum balas responden yang telah mengisi sejumlah dokumen atau survei, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu, dimaklumkan sendiri oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu kepadanya, dalam satu pertemuan yang diadakan secara dalam talian Isnin lepas, bagi membincangkan hasil laporan itu.
Iklan
Iklan
"Mereka telah menjelaskan bahawa sebenarnya indeks kebebasan media yang mereka laporkan adalah berdasarkan maklum balas responden, yang telah mengisi sejumlah dokumen atau survei dan tidak semestinya berdasarkan kepada usaha mereka sendiri di lapangan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pada pertemuan itu, pihak RSF turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan, dalam usaha untuk meningkatkan aspek kebebasan media dalam negara.
Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 disiarkan RSF baru-baru ini menunjukkan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan, jatuh 34 anak tangga ke kedudukan 107 berbanding 73 pada tahun lepas, dengan memperoleh skor 52.07 mata. - Bernama