Tokan aktif edar ganja sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya dicekup

Iklan
Wan Azlan (dua dari kanan) menunjukkan antara ganja yang dirampas susulan tangkapan dan serbuan sebuah rumah pada Jumaat lalu.

SUBANG JAYA - Kegiatan pengedaran dadah yang didalangi seorang pegawai khidmat pelanggan terbongkar selepas suspek diberkas di kawasan tepi Jalan USJ 4/1 dekat sini pada Jumaat.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai terlibat aktif mengedar dadah jenis ganja di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya sejak Januari lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berumur 32 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kira-kira jam 11.20 malam.

"Suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu ditahan anggota bertugas sebelum pemeriksaan menemukan dadah jenis ganja seberat 210 gram yang disembunyikan dalam beg pinggang dipakainya.

Iklan

"Susulan tangkapan suspek kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah sekitar kawasan Petaling Jaya sebelum pemeriksaan menemukan dadah yang juga jenis ganja seberat 36 kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di IPD Subang Jaya di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya, siasatan mendapati suspek mendapat bekalan dadah berkenaan dari negara jiran.

Wan Azlan (dua dari kanan) menunjukkan antara ganja yang dirampas susulan tangkapan dan serbuan sebuah rumah pada Jumaat lalu.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dadah itu diperoleh selain penglibatan individu lain dalam kes ini.

"Saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis THC dipercayai kesan penagihan ganja, bagaimanapun, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM111,640.

"Tindakan turut diambil di bawah Pelucuthakan Harta 1988 yang melibatkan sitaan wang tunai berjumlah RM1,270 dan dua kenderaan bernilai RM10,000.

"Suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, seramai 901 individu ditahan melibatkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dalam tempoh 1 Januari hingga 14 Mei lalu.

Beliau berkata, kesemua dadah berkenaan melibatkan heroin, ganja, syabu pil ekstasi dan beberapa jenis dadah lain bernilai RM618,463.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!