PUTRAJAYA - Jemaah Menteri hari ini mengucapkan tahniah atas pelantikan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
"Jemaah menteri mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau yang akan mengangkat sumpah malam ini.
"Ini akan disusuli dengan ucapan tahniah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian,” kata jurucakap Kerajaan Perpaduan itu pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Selepas hampir dua dekad, Singapura bakal menyaksikan peristiwa bersejarah pada petang Rabu apabila republik itu melantik perdana menteri baharu.
Dalam peralihan kepimpinan yang lancar, Lawrence Wong, 51, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura, akan menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri republik itu sejak tahun 2004.
Upacara angkat sumpah akan berlangsung pada 8 malam ini di Istana.
Lawrence Wong, seorang penjawat awam sebelum menceburi arena politik pada 2011, dilihat sebagai calon perdana menteri selepas dinamakan sebagai pemimpin pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada April 2022 selepas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berundur.
Penyerahan teraju pucuk pimpinan itu disahkan selepas kenyataan pada 15 April apabila Hsien Loong mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 15 Mei. - Bernama