KANGAR - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli meminta individu terlibat melakukan taubat sekiranya ada unsur sabotaj ke atas pentabiran kerajaan negeri dibawah pimpinannya.
Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada wujud gerakan atau unsur sabotaj berikutan timbul isu tertentu termasuklah siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dirinya.
"Tidak tahu (wujud cubaan sabotaj). Jikalau ada unsur sabotaj, saya ingat kalau dia seorang Islam dia kena bertaubatlah.
"(Sebab) dia menyusahkan saya dan pasukan saya untuk bekerja untuk negeri ini (dan) buang masa banyak," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun, Mohd Shukri berkata, dia juga tidak menolak sebarang kemungkinan ada pihak membuat sabotaj.
"Saya pun tak tahu. Boleh jadi ada (unsur sabotaj) kot. Mungkin ada lah, di mana-mana saja boleh berlaku benda ini," katanya.
Mohd Shukri memohon pihak terlibat untuk berhenti melakukan sebarang gerakan untuk mensabotaj itu memandangkan ia kerja yang sia-sia.
Beliau menambah, dakwaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis ditahan juga tidak benar, malah telah dinafikan sendiri SPRM.
Mohd Shukri berkata, pihaknya terbuka dengan siasatan SPRM,bagaimanapun kes dianggap selesai berikutan ia telah dinafikan SPRM.
Beliau turut memberitahu, pentadbiran kerajaan negeri tetap berjalan lancar seperti biasa walaupun timbul khabar angin tersebut.
"Sebab, ia siasatan sahaja, bukan melibatkan apa-apa yang perlu kita tangguhkan," katanya.
Mohd Shukri menegaskan, setakat ini, tidak ada juga penggeledahan dilakukan SPRM ke atas lima ADUN Perlis tersebut.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri berkata, beliau berterima kasih atas kunjungan hormat SPRM Perlis diketuai oleh Pengarahnya, Mohd Nor Adha Ab Ghani pada Selasa.
"Insya-ALLAH, akan ditubuhkan (dan) ditempatkan seorang pegawai SPRM di pejabat (menteri besar).
"Saya perlu berbincang (dan) perhalusi lagi dengan Setiausha Kerajaan Negeri, pegawai undang-undang dan pegawai kewangan negeri sebab SPRM ini dipinjamkan saja kepada negeri (dengan) gaji mesti ditanggung oleh negeri," katanya.
Beliau memaklumkan, terma syarat itu sudah ada,bagaimanapun keperluan di negeri perlu dibincangkan lebih teliti sebelum keputusan dibuat.
"Insya-ALLAH, masa terdekatlah (dan) tengok dari segi hasil perbincangan itu, saya rasa amat positiflah,"katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!