SHAH ALAM - Waris keluarga Allahyarham Muhammad Isa Muhammad Veeramohan yang ditemui maut di perairan Bangladesh 10 Mei lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, semakan mendapati kru kapal MTT Sapangar adalah pencarum aktif bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 2011.
"Ibu bapa Allahyarham turut layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kerana anaknya masih belum berkahwin.
"Ibu bapanya, Muhammad Veeramohan Abdullah, 72, dan Rabiah Buang, 61, menerima FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar serta akan menerima FOT bulanan berjumlah RM1,417.32 untuk sepanjang hayat mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada 10 Mei lalu, dua hari selepas dilaporkan terjatuh pada 8 Mei kira-kira 8.15 pagi.
Kejadian dilaporkan berlaku sehari selepas kapal terbabit tiba di perairan Chittagong dari Singapura.
Pada masa sama, tambah Steven, skuad PERKESO hadir ke kediaman waris di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang untuk menyerahkan bayaran FPM dan Kotak Prihatin.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan PERKESO menzahirkan penghargaan kepada Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Malaysia (NUSPM) yang banyak membantu sepanjang proses pengumpulan maklumat berkenaan kemalangan terbabit.
"Kami berharap agar bantuan yang diberikan mampu membantu waris keluarga untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaan Allahyarham,” jelas beliau lagi.
Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!