KLANG - Tindakan penunggang motosikal memecut laju ketika hendak diperiksa polis membongkar penemuan daun ketum dan ubat batuk, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek yang juga lelaki warga asing itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Bandar Baru Klang di Jalan Batu Belah, kira-kira jam 10.45 pagi.
Menurutnya, ketika hendak ditahan bagi pemeriksaan, penunggang terbabit terus melarikan diri, namun berjaya ditahan di Jalan Kapar.
"Suspek berusia 28 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Klang pada esok (Khamis) untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, soal siasat awal suspek mendakwa dia dalam perjalanan berjumpa rakannya di Teluk Menegun, Klang.
Katanya, barang rampasan itu dipercayai untuk tujuan minum suspek bersama rakannya.
"Polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes sedemikian untuk segera laporkan kepada pihak polis," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!