Lawatan PM Anwar ke Doha kukuh hubungan dua hala

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan bersama Presiden Poland, Andrzej Duda semasa menghadiri Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 pada Selasa. Foto Bernama

DOHA - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Doha yang berakhir pada hari Selasa ke negara Teluk itu menghantar dua isyarat yang jelas.

Pertama, Malaysia mengukuhkan hubungan dua hala dengan salah satu negara terkaya di Asia Barat melalui perdagangan dan pelaburan yang dipertingkatkan. Dan keduanya, Malaysia menegaskan pendiriannya sebagai sebuah negara yang komited terhadap usaha damai di pentas global.

Iklan
Iklan

Lawatan ini yang menyusuli lawatan Anwar ke Riyadh, Arab Saudi, pada bulan lepas, mencerminkan hasrat Malaysia untuk menjalin perkongsian baharu dan menarik pelaburan, terutamanya ketika Doha dan Putrajaya meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala kedua-dua negara itu pada tahun ini.

Lawatan tiga hari ke Doha adalah atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani itu padat dengan pogram yang bertujuan untuk memupuk hubungan ekonomi dan pendidikan.

Iklan

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Peluang dalam bidang digital, perdagangan

Iklan

Usaha agresif Qatar bagi"transformasi digital" dengan insentif bernilai sembilan bilion riyal Qatar (US$2.47 bilion) termasuk kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan semasa Forum Ekonomi Qatar 2024 di sini, telah mencetuskan minat global.

Semasa sidang media mengakhiri lawatan beliau pada Selasa, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mesti merebut peluang untuk bekerjasama dengan Qatar ketika ia memulakan transformasi digitalnya kerana ini akan memberi manfaat kepada negara yang juga sedang agresif menggerakkan usaha digital, khususnya dalam AI.

Pertemuan meja bulat dengan 45 pemimpin terkemuka industri di Qatar daripada 36 syarikat menghasilkan komitmen untuk potensi mengeksport barangan dan perkhidmatan dari Malaysia bernilai RM700 juta, menandakan keyakinan terhadap penawaran berkualiti negara.

"Ada yang berjanji untuk melabur serta-merta.Terdapat syarikat yang ingin membuat lawatan ke Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu atau dua lagi untuk meneliti beberapa bidang tumpuan termasuk digital, tenaga dan makanan, di samping terdapat juga minat daripada sesetengah pihak untuk meneroka sektor infrastruktur.

"Saya percaya dengan sokongan Amir Qatar dan Perdana Menteri (Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani), potensi pelaburan dari Qatar boleh disegerakan kerana ia (dijangka) besar. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka mahu Malaysia menjadi kawasan tumpuan,” kata Perdana Menteri pada sidang media itu.

Anwar berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dijangka melonjak dan berdasarkan momentum semasa beliau mengunjurkan jumlah itu boleh melepasi angka tahun lepas.

Tahun lepas, perdagangan dua hala dengan Qatar berjumlah RM4.2 bilion dan negara Teluk itu menjadi rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara itu meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) pada tempoh yang sama 2023.

Ketika ini, petroleum dan gas asli adalah tunjang utama ekonomi Qatar yang memiliki salah satu rizab gas asli terbesar di dunia.

Usaha damai di Palestin

Pertemuan pertama Anwar dengan pemimpin tertinggi Hamas Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri Malaysia sudah pastinya mendapat perhatian utama, dan mencetuskan pelbagai reaksi khususnya dari Barat.

Pertemuan yang berlangsung atas permintaan Hamas itu menyentuh perkembangan terkini konflik Palestin-Israel, satu langkah yang bermanfaat kepada proses damai yang sedang berlangsung, yang mana kerajaan Qatar memainkan peranan besar sebagai orang tengah.

Perdana Menteri tidak pernah teragak-agak untuk menyuarakan pendirian tegasnya tentang perjuangan Palestin, komitmen yang diperjuangkan beliau sejak mula mengambil alih pentadbiran.

Dalam satu ceramah umum yang dihadiri beliau, Anwar menekankan tentang hipokrasi ditunjukkan oleh kuasa besar Barat yang walaupun selalu mengangkat isu tentang kemanusiaan, demokrasi, dan hak asasi manusia namun pada masa yang sama membiarkan tindakan rejim zionis Israel yang melanggar nilai-nilai ini termasuk melakukan penindasan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin.

"Bagaimana mungkin, selepas beberapa dekad, kita masih melihat semua ini berlaku? Ia mencetuskan banyak kemarahan termasuk di Malaysia, marah, kerana keseluruhan sistem telah gagal... masyarakat antarabangsa gagal; kuasa besar gagal; dan media arus perdana sama ada gagal atau (tidak mengambil peduli). Akhirnya, sikap tidak berperikemanusiaan berterusan berlaku,” katanya.

Justeru, Anwar menyeru ahli akademik dan para pelajar supaya terus istiqamah dalam menjunjung nilai kemanusiaan dan keikhlasan bagi membolehkan mereka merancang masa depan dunia Islam yang lebih cerah.

Secara keseluruhannya, bagi Anwar dan seluruh delegasi Malaysia, lawatan mereka ke Doha kali ini sudah tentunya meninggalkan kesan yang berkekalan dalam hubungan dua hala dan bidang ekonomi. - Bernama