Bekalan air di Selangor cukup hadapi kemarau

Iklan
Air Selangor memberi jaminan bekalan air di negeri Selangor mencukupi bagi menghadapi musim kemarau tahun ini. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberi jaminan bekalan air di negeri Selangor mencukupi bagi menghadapi musim kemarau tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, ini kerana kesemua lapan empangan yang diuruskan pihaknya berada pada tahap memuaskan iaitu dengan keadaan paras air pada sekitar 98 hingga ke 100 peratus.

Iklan
Iklan

"Pihak Air Selangor telah membuat persiapan bagi menghadapi musim kemarau ini sejak akhir tahun lepas lagi, oleh itu pengguna tidak perlu gusar. Setakat semalam pula, catatan paras air di kesemua empangan ini melebihi 98 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasikan kempen Jom e-Bil Air Selangor di sini hari ini.

Lapan empangan terbabit ialah Empangan Sungai Langat, Empangan Sungai Semenyih, Empangan Klang Gates, Empangan Tasik Subang, Empangan ORS (kolam takungan) Sungai Labu, Empangan Sungai Batu, Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

Iklan

Suhaimi berkata, pengguna tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan pembaziran air meskipun jaminan bekalan air mencukupi, sebaliknya mereka perlu bersama-sama bertanggungjawab menjimatkan penggunaan air.

"Adalah disarankan (kepada pengguna) untuk mandi pada kadar lima minit maksimum atau tidak membuka paip secara berterusan sewaktu memberus gigi bagi menjimatkan penggunaan air," kata Suhaimi.

Iklan

Menjelaskan mengenai aplikasi e-Bill Air Selangor, beliau berkata, pengguna boleh melayari portal update.airselangor.com ataupun boleh memuat turun aplikasi itu di App Store atau Google Play Store serta klik 'setuju' untuk mendapatkan bil air mereka secara dalam talian.

"Kita sasarkan 600,000 pengguna yang berdaftar dengan e-Bill untuk tiga bulan ke hadapan. Setakat ini kita baru ada lebih kurang 450,000 pengguna yang berdaftar," tambahnya. - Bernama