Gembira, terkejut dapat berbakti di pedalaman Sarawak

Iklan
Marissa Ayunni bergambar bersama pelajarnya di SMK Tutoh Apoh.

ALOR SETAR - Perasaan gembira dan terkejut bersilih ganti dalam diri guru muda Marissa Ayunni Halim, 28, saat pertama kali mendapat berita ditempatkan sebagai seorang pendidik di pedalaman Sarawak pada Disember lalu.

Gembira kerana akhirnya cita-cita sebagai seorang guru tercapai, terkejut kerana tidak menyangka akan ditempatkan di kawasan yang mungkin ramai guru tidak mengimpikannya.

Iklan
Iklan

Apatah lagi dalam kalangan rakan seperjuangan, hanya dia satu-satunya yang ditempatkan di kawasan terbabit yang turut digelar P3 (Pedalaman 3) iaitu di Baram, Sarawak.

"Memang terkejut dan tak sangka, tambahan pula saya tak pernah dengar pun nama tempat dan sekolah itu.

Iklan

"Tetapi saya cuba berlapang dada dan berpegang kembali kepada niat asal saya untuk menjadi guru demi mendidik anak bangsa tak kira di mana pun saya ditempatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pekan terakhir sebelum sampai ke sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh adalah pekan Marudi.

Iklan

"Untuk sampai ke sekolah saya ini, kami perlu menukar kenderaan beberapa kali termasuk perlu melalui jalan balak yang memakan masa selama tiga jam dari pekan Marudi,” ujarnya.

Jelas anak jati Alor Setar itu, dia ditempatkan di kuarters guru dalam kawasan sekolah untuk memudahkan pergerakan.

Guru Geografi dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) itu berkata, dia selalu berdoa semoga dikuatkan semangat dan diberi kekuatan untuk mendidik pelajarnya di sekolah berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!