[VIDEO] Dua jam redah ombak demi 13 murid

Iklan

MERSING - Mengharungi hampir dua jam perjalanan di laut dengan menaiki bot dalam keadaan cuaca tidak menentu, ombak besar dan laut bergelora menjadi cabaran yang perlu dilalui kumpulan guru yang mengajar di Pulau Sibu.

Perjalanan berliku penuh risiko yang mempertaruhkan nyawa itu merupakan rutin ketika musim tengkujuh dari tanah besar di Mersing demi mendidik 13 murid Tahun Satu hingga Lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sibu.

Iklan
Iklan

Bagi Guru Besar SK Pulau Sibu, N Aniham Abdul Majid, kedudukan sekolah yang jauh di pulau dan perlu berulang-alik setiap minggu ke Mersing tidak mematahkan semangatnya.

N Aniham berkata, dia dan guru-guru di SK Pulau Sibu akan ke Mersing setiap minggu untuk bertemu keluarga dan membeli barang keperluan serta makanan.

Iklan

Menurutnya, selain menaiki bot, musim tengkujuh pada hujung tahun turut memberi cabaran dari segi keselamatan guru.

"Di pulau ada banyak pokok kelapa. Apabila tiba musim tengkujuh bermula pada bulan September, angin cukup kencang sehinggakan banyak pokok kelapa yang tumbang.

Iklan

"Saya masih ingat, sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Sibu pada tahun 2020, berlaku kejadian pokok kelapa tumbang nyaris menghempap rumah guru.

"Mujur kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa dan kecederaan. Selepas itu, pokok kelapa berhampiran sekolah dan rumah guru ditebang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang berasal dari Jerantut, Pahang tidak pernah merasa terbeban sepanjang berkhidmat di tiga buah sekolah di pulau-pulau Mersing kerana penduduk di pulau gemar menolong dan bersikap mesra.

Jelasnya, terdapat empat buah sekolah kebangsaan di kawasan pulau di Mersing iaitu SK Pulau Pemanggil, SK Pulau Aur, SK Pulau Tinggi dan SK Pulau Sibu.

"Saya mula mengajar pada 1995 di SK Pulau Pemanggil. Kemudian saya berpindah ke sekolah-sekolah kebangsaan di Mersing termasuk di kawasan Felda, sebelum menjejakkan kaki sebagai guru besar di SK Pulau Tinggi pada tahun 2016.

"Kini sudah empat tahun saya berkhidmat di SK Pulau Sibu, banyak kenangan dilalui bersama tiga guru lelaki dan dua guru wanita di sini,” kongsinya.

Laut bergelora dan ombak besar perlu diharungi guru ketika menaiki bot untuk ke Pulau Sibu pada musim tengkujuh.

Beliau menambah, bertugas di pulau juga memerlukan seseorang guru itu menyesuaikan diri dengan keadaan bekalan elektrik terhad kerana bergantung solar hibrid dan bekalan air daripada perigi.

"Terdapat 90 keluarga di Pulau Sibu yang merupakan nelayan. Bekalan elektrik kampung diperoleh dari solar hibrid yang mana bekalan elektrik kerap terputus.

"Bagi bekalan air pula bergantung dengan air perigi untuk mandi dan sebagainya. Sementara akses internet dan talian telefon agak lemah di kawasan pulau,” ceritanya.

Ditanya mengenai proses pengajaran dan pembelajaran dengan akses internet yang lemah, N Aniham berkata, ia tidak menghalang guru-guru mengajar dengan menyediakan modul dan kertas kerja latihan murid.

"Apabila murid-murid mencapai tahap minimum pentaksiran bilik darjah dengan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta melakukan pelbagai aktiviti di dalam dan luar kelas seperti sekolah-sekolah lain, membuktikan tiada yang mustahil murid-murid di sini dapat lakukan.

"Saya sendiri merasa senang dengan sahsiah murid yang cukup baik dan sikap masyarakat yang suka menolong. Malah banyak aktiviti dilakukan bersama seperti marhaban raya dilakukan bersama guru dengan masyarakat di pulau. Kami seperti sebuah keluarga di Pulau Sibu,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!