SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah mendakwa protes rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja berlaku di Semenanjung Malaysia, malah ia telah merebak ke Borneo.
Setiausahanya, Razeef Rakimin berkata, perkara tersebut berpunca daripada kegagalan kerajaan melaksanakan manifesto dan memungkiri janji selain gagal memberikan penjelasan berkesan berhubung isu Pas Sementara Sabah (PSS).
"Sekali lagi kerajaan menerima tamparan hebat pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Kimanis di Sabah apabila calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mengalami kekalahan teruk dengan majoriti 2,029 undi berbanding kekalahan tipis sebanyak 156 undi pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, walaupun pelbagai tawaran dan peruntukan membanjiri Kimanis sepanjang kempen, namun pengundi lebih peka terhadap isu lebih besar iaitu isu ekonomi.
"Melalui tinjauan yang kami lakukan sebelum hari pencalonan kebanyakan masyarakat Kimanis telah menyatakan sejak awal akan menolak Warisan kerana selain kegagalan dalam pentadbiran, amalan kronisme dan sikap sombong sesetengah pemimpin menyebabkan rakyat tawar hati untuk memberikan undi.
"Malah ada antara individu yang menyatakan penolakan itu ialah penyokong Warisan sendiri. Ada antara mereka yang kami temui tidak yakin kerajaan mampu melaksanakan janji apatah lagi isu peralihan kuasa yang dilihat semakin kabur sehingga ada mengandaikan jika janji terhadap rakan pakatan sendiri tidak mampu dilaksana, apatah lagi janji kepada rakyat," katanya.
Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah turut menggesa kerajaan memulakan reformasi sistem dan pentadbiran dengan kadar segera bermula dengan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Rakyat melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji termasuk janji peralihan kuasa yang dilihat masih kabur.
"Kerajaan hari ini perlu ingat rakyat sudah sedar akan kuasa mereka untuk menentukan kerajaan dan apa yang berlaku di Kimanis merupakan gelombang kebangkitan rakyat dalam skala besar bagi menyedarkan kerajaan negeri dan Persekutuan akan janji-janji yang telah dibuat," katanya.
Katanya, PH perlu sedar sekiranya tuntutan rakyat tidak dilaksanakan segera ia dikhuatiri memberi kesan terhadap prestasi PH pada Pilihan Raya Negeri Sarawak nanti.