SHAH ALAM - Sinar Harian mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mengkritik dan memberi teguran kepada Meta yang menurunkan posting berita beberapa media mengenai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Selain Sinar Harian, difahamkan Meta turut menurunkan laporan berita berkenaan di FB Malaysiakini serta memadam terus akaun FB MalaysiaGazzete.
Lantaran teguran menteri dan surat mohon penjelasan dibuat MCMC kepada Meta, FB telah mengembalikan semula hantaran laporan berita berkenaan di platform FB Sinar Harian dan Malaysiakini malam tadi.
MalaysiaGazette turut mengesahkan FB lama miliknya dikembalikan semula.
Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli, Sinar Harian bersama media-media Malaysia berpendapat gergasi teknologi baik Meta, TikTok atau YouTube tidak sepatutnya menyekat laporan berita yang adil dan saksama kepada masyarakat dunia termasuk dalam kekejaman ke atas Palestin.
Sebelum ini beberapa media utama menyiarkan laporan berita Anwar bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal ketika dalam lawatan rasmi ke Qatar.
Pertemuan berlangsung secara tertutup selama lebih sejam di sebuah hotel di Doha dengan antara intipatinya berkisar perkembangan konflik di Asia Barat terutama membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.
Hantaran berita tersebut di akaun Facebook media berkenaan telah diturunkan atas alasan kononnya berkongsi atau menghantar simbol, pujian dan sokongan kepada individu serta organisasi yang ditakrifkan Meta sebagai berbahaya.
Susulan itu, Fahmi meminta penjelasan Meta dan menyifatkan tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!