KUALA LUMPUR - Tindakan dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang membantu membawa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dibonceng ibunya ketika hujan lebat mendapat pujian.
Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, beliau bangga dengan anggotanya, Koperal Abd Nuur Alias dan Koperal Mohd Nazri Mohamad @ Ab Rahim dalam melaksanakan tugas kemanusiaan.
"Terima kasih kepada dua anggota saya atas niat murni mereka. Mereka melakukan tugas dengan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, kejadian itu dikesan anggota terbabit semasa melakukan rondaan di sekitar Jalan Gembira, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.50 petang Selasa lalu.
"Ketika rondaan itu, mereka terlihat seorang wanita membonceng kanak-kanak dalam hujan lebat dan angin kuat.
"Dua anggota ini memberhentikan motosikal terbabit sebelum memberi bantuan menghantar kanak-kanak itu menaiki kereta peronda pulang ke rumahnya di OUG Parkland," katanya.
Tambah Ku Mashariman, usaha murni anggota terbabit dapat menaikkan imej warga Sang Saka Biru dalam usaha membantu masyarakat.
"Diharap juga seluruh warga polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields terus berkhidmat sebaik mungkin kepada masyarakat dan sesuai dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!