Serangan buaya: Perhilitan Melaka ronda berkala, pasang perangkap

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan seekor buaya telah membaham seekor kambing di Sungai Malim.

MELAKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akan menjalankan rondaan berkala dan memasang perangkap susulan kejadian seekor kambing milik penduduk dibaham buaya di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang di sini, pada Selasa lepas.

Perhilitan Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan serangan buaya tersebut berlaku pada kira-kirajam 6 petang di tepi tebing Sungai Ayer Salak di kampung berkenaan yang menempatkan kandang kambing milik seorang penduduk di kampung itu.

Iklan
Iklan

"Kejadian dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar menerusi panggilan telefon semalam sebelum anggota Perhilitan Melaka digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati kejadian benar berlaku dan jarak kandang kambing berkenaan dengan sungai ialah kira-kira 100 meter," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk resah kehadiran lima ekor buaya di Sungai Malim

Iklan

Menurut Perhilitan Melaka ketika kejadian, kambing berkenaan dipercayai berada di gigi air sungai tersebut sebelum seekor buaya dipercayai buaya tembaga menyerang haiwan ternakan itu.

Perhilitan Melaka memaklumkan buaya tersebut kemudian dipercayai melarikan diri ke arah hulu sungai dan kawasan serangan berkenaan merupakan kawasan habitat buaya.

Menurutnya kawasan sepanjang tebing sungai tersebut telah diletakkan papan tanda memaklumkan ia adalah habitat buaya dan serangan itu merupakan kejadian kali pertama.

Iklan

Berdasarkan Rekod Aduan Konflik Hidupan Liar Pejabat Perhilitan Melaka, jabatan itu sering menerima aduan tentang kemunculan buaya di kawasan itu pada 2020, 2022, 2023, namun pada tahun ini tiada kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang buaya direkodkan di negeri itu.

Agensi itu turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan sebarang hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.

Sebarang aduan serta maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan kepada jabatan itu melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!