KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menggalakkan pemilik kenderaan memasang kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) pada kenderaan masing-masing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menerima banyak cadangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam pada kenderaan.
"Tetapi, untuk mewajibkan perkara baharu ia merupakan satu cabaran.
"Setakat ini belum ada perancangan ke arah itu (mewajibkan), tetapi kita galakkan terutama kenderaan baharu untuk dipasang dashcam," katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media di Hotel Royale Chulan dekat sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata, pihaknya juga menggalakkan kenderaan pengangkutan awam untuk memasang 'dashcam'.
Jelasnya, alat ini berperanan untuk merakam apa juga yang berlaku di jalan raya dan rakaman yang direkodkan boleh dijadikan bahan bukti atas apa juga yang berlaku termasuk kemalangan.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan, dalam tempoh lima tahun sejak 2019, berlaku peningkatan 5 juta kenderaan berdaftar dalam negara.
"Pada tahun 2019, kira-kira 31.2 juta kenderaan berdaftar direkodkan dan tahun 2023 mencatatkan 36.6 juta kenderaan di mana peningkatan 5 juta kenderaan.
"Negara tiada dasar bagi menghadkan jumlah kenderaan, tetapi MOT akan terus menambah baik khidmat pengangkutan awam sebagai alternatif kepada masyarakat," ujarnya.
Tambahnya, tahun ini, MOT akan menambah jumlah bilangan bas henti-henti di Lembah Klang.
"Di ibu negara khususnya, jumlah bas henti-henti setakat ini tidak sampai 1,000 unit, jadi jumlah ini akan ditambah dan kita galakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!