'Ayah belum tahu, kami tak mahu ganggu emosi'

Iklan
Keadaan rumah dan kenderaan yang turut musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkal Gong petang Rabu. Gambar kecil: Salwani

MACHANG - Sebuah keluarga di Kampung Pangkal Gong di sini sepakat tidak mahu memaklumkan kebakaran rumah kepada bapa mereka yang baru empat hari menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang Rabu itu mengakibatkan rumah mereka hangus 100 peratus manakala empat lagi rumah turut musnah

Iklan
Iklan

Abdul Fathah Idris, 50, berkata, bapanya, Idris Mamat, 83, bertolak menunaikan haji bersama empat ahli keluarga terdekat Ahad lepas.

"Saya sudah memaklumkan kepada ahli keluarga lain tetapi buat masa ini kami sepakat tidak mahu memberitahu kejadian berkenaan kerana enggan mengganggu emosi ayah," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran pada Khamis.

Iklan

Menurut Fathah, sepanjang ahli keluarga berada di Makkah, dia yang tinggal di Kampung Mata Ayer dekat sini datang ke rumah bapanya untuk menemani adiknya, Fathi Idris, 48, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

Bagaimanapun, ketika kejadian Abdul Fathah pergi ke Kubang Kerian kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

Iklan

Jelasnya lagi, dia menerima panggilan pada jam 6.30 petang daripada seorang lagi adiknya, Firdaus Idris, 40, dan terus bergegas pulang.

Abdul Fathah (dua dari kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Rohani.

"Saya bersyukur kerana adik selamat selain tiada kemalangan," katanya.

Dalam pada itu, sepupu Abdul Fathah, Salwani Mat Salleh, 36, ketika ditemui masih trauma dan terkejut melihat rumah bapa saudaranya yang hanya beberapa meter dari rumahnya musnah dalam kejadian terbabit

Menceritakan kejadian berkenaan, Salwani berkata, ketika itu dia baharu selesai solat Asar dan tiba-tiba terdengar letupan kuat sebelum berlari ke arah bunyi itu di hadapan rumahnya.

Salwani berkata, ketika itu juga dia hanya mampu melihat api marak dan merebak ke rumah saudaranya yang lain.

"Api menjulang sehingga ke bumbung rumah dan merebak mengakibatkan kediaman berdekatan turut hangus kerana tiada penghuni berikutan masing-masing ada urusan di luar," katanya.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim yang melawat mangsa memberitahu, kerajaan negeri menyampaikan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada setiap mangsa bagi meringankan beban mereka.

Tambahnya, mangsa turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

"Bantuan lain akan menyusul selepas ini berdasarkan kerugian dan kelayakan mereka," katanya.