PAKAR-PAKAR ekonomi menjangkakan penstrukturan semula ekuiti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bakal mengoptimumkan manfaat ekonomi kepada negara menerusi potensi operasi lebih berdaya saing.
Malah, kehadiran pelabur seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dilihat mampu membawa kepercayaan terhadap pengambilalihan MAHB.
Penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, pengambilalihan akan membuka kepada peningkatan kualiti perkhidmatan lebih cemerlang.
Menurutnya, kepakaran dan pengalaman pelabur juga bakal membawa nilai tambah kepada operasi MAHB, sekali gus memberi peluang pertumbuhan dan pembangunan berterusan.
"Proses pengambilalihan ini dilakukan dengan telus dan terbuka, dengan maklumat yang mencukupi diberikan kepada pihak berkepentingan.
"Ia menunjukkan komitmen konsortium untuk menjalankan urusan perniagaan secara bertanggungjawab, memberikan keyakinan kepada pelabur dan peserta pasaran kewangan.
"Dengan menggabungkan keupayaan dan kepakaran, mereka yakin dapat meningkatkan perkhidmatan penumpang, menyokong pertumbuhan ekonomi dan memajukan lapangan terbang Malaysia,” katanya.
Sementara itu, penganalisis industri, Afizan Amer berkata, pengambilalihan membuka peluang meneroka pasaran modal baharu yang lebih berdaya saing dengan memperkenalkan budaya kerja berasaskan teknologi terkini.
"Ia juga akan meningkatkan daya tahan MAHB dalam menghadapi persaingan serantau mahu pun daripada pasaran global,” katanya.
Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Dr Yeah Kim Leng pula berkata, penstrukturan semula ekuiti MAHB akhirnya akan memberi manfaat kepada negara terutama jika ia menyokong peningkatan berterusan dan pemodenan lapangan terbang negara serta kemudahan dan perkhidmatan sampingan.
Menurutnya, sebarang peningkatan kepada pertumbuhan masa depan syarikat akan meningkatkan daya saing dan keuntungannya.
Media melaporkan 30 peratus kepentingan dalam MAHB akan dijual kepada GIP, sebuah syarikat pelaburan infrastruktur yang melabur dalam ekuiti dan hutang terpilih.
Pada masa ini, MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLports (landasan berlepas dan mendarat yang pendek).
Selain itu, ia memiliki dan menguruskan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!