Peraturan penyediaan makanan di Arab Saudi lebih ketat

Iklan
Pasukan katering TH turut menyediakan kiosk di setiap maktab bagi kemudahan jemaah yang ingin merasakan makanan yang berbeza.

MAKKAH - Cabaran untuk menepati peraturan dan undang-undang kerajaan Arab Saudi yang lebih ketat berbanding di Malaysia antara kekangan utama buat petugas katering dalam operasi haji musim 1445M/2024.

Pengarah Operasi Katering, Rashidi Razali@Ghazali berkata, sekiranya didapati wujud pelanggaran peraturan akan menyebabkan dapur tidak lagi dibenarkan beroperasi, selain saman dikeluarkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peraturan yang ketat itu termasuk pihak katering tidak boleh menyediakan makanan sehari lebih awal walaupun mereka perlu memasak untuk ribuan jemaah haji pada satu-satu masa.

"Cabaran katering ini adalah kepatuhan kepada undang-undang kerajaan Arab Saudi kerana undang-undang di sini lebih ketat berbanding di Malaysia.

Iklan

"Kadang kala akan ada penilaian dibuat untuk pastikan makanan disediakan tidak rosak dan memudaratkan jemaah.

"Undang-undang di sini kalau didapati bersalah, pertama disaman.

Iklan

"Kalau kes tersebut berat, kita akan disaman dan ditutup dapur serta tidak dibenarkan beroperasi,” katanya kepada petugas media di sini.

Sebahagian jemaah haji yang beratur di kaunter edaran makanan di tingkat 7, Hotel Abraj Al-Janadriah, Makkah.

Rashidi yang mempunyai pengalaman 17 tahun menyediakan sajian jemaah haji berkata, bahan mentah yang terhad juga memberi kekangan kepada pihak katering kerana bahan seperti ikan dan sayur sukar didapati.

Beliau berkata, terdapat juga cabaran berkaitan pengurusan waktu kerja, yang mana tukang masak akan masak bermula 2 pagi sehingga ada yang tidak dapat rehat yang secukupnya.

"Tukang masak ini kita bawa dari Malaysia dan seorang dapat satu dapur.

"Bayangkan jika dua orang tukang masak nak uruskan sajian untuk 4,000 jemaah.

"Selain itu, kita juga hadapi cabaran untuk menepati citarasa jemaah haji yang berbeza-beza, namun kami mengambil pendekatan citarasa di tengah-tengah, yang mana kalau masak lemak, semua tahu rasa masak lemak,” katanya.

Sementara itu, Rashidi memberitahu, pihaknya mengekalkan beberapa menu utama setiap tahun seperti masak lemak, masak kicap, kari daging dan kari ikan.

"Antara yang menjadi kegemaran jemaah haji adalah nasi briyani yang disediakan pada hari Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 tan rempah-ratus pracampur dihantar ke Makkah menggunakan jalan laut bagi kegunaan pasukan penyedia makanan menyediakan makanan untuk jemaah haji.

Rempah berkenaan sudah dimasukkan ke dalam pek seberat lima kilogram setiap satu, lalu dimasukkan ke dalam kotak-kotak khas sebelum dihantar ke pelabuhan menggunakan kontena untuk dihantar ke destinasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!