PUTRAJAYA - Selepas dua pegawai kanan diberkas, kini giliran seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi badan berkanun menerima nasib sama.
Ia setelah disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana peruntukan pinjaman dari Kementerian Kewangan (MOF) bagi projek pembangunan di sekitar ibu negara yang bernilai RM1.2 billion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu telah ditahan jam 8 malam Rabu ketika hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 dan telah menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman dengan memindahkan sebahagian wang yang diterima daripada MOF kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti yang dinyatakan dalam permohonan.
Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman.
Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah tahanan reman selama dua hari bermula Khamis.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!