IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 70 belia membacakan khutbah Jumaat di masjid semua daerah di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada Rabu.
Menurutnya, baginda turut menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 17 Mei adalah bertemakan 'Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan'.
"Penghormatan kepada golongan belia membaca khutbah ini bagi menghargai serta mengiktiraf peranan penting belia kepada negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, Jabatan Belia dan Sukan Perak telah mengemukakan 70 pemimpin belia kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk diangkat sembah mendapat perkenan Sultan Perak membaca khutbah.
Katanya, antara pemimpin terbabit, Muhammad Syukri Alimar Shidi dari Kelab Belia Abrar Sungai Rokam yang akan membacakan khutbah Jumaat di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Kampung Sungai Rokam.
"Turut diberi perkenan, Mohd Shahril Umat dari Majlis Belia Daerah Pengkalan Hulu di Masjid Jamek Pengkalan Hulu dan Muhammad Firdaus Kamarudin dari Angkatan Belia Islam (ABIM) Teluk Intan di Masjid Ar Rahmaniah Parit 9, Labu Kubong," katanya.
Pada sambutan sama tahun lalu, Sultan Nazrin turut memberi perkenan kepada golongan belia membacakan khutbah Jumaat melibatkan 24 pemimpin belia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!