Warga emas trauma, kereta dipandu dihempap pokok

Iklan
Ismail melihat keadaan keretanya selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di Alor Setar pada petang Khamis.

ALOR SETAR - Seorang warga emas terselamat selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di sini pada Khamis.

Mangsa, Ismail Yaakob, 61, berkata, dia bersyukur apabila terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan
Iklan

Katanya, dia pada mulanya terperangkap namun sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam.

"Ketika kejadian, pak cik sedang berhenti di simpang untuk meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Derga.

Iklan

"Namun, secara tiba-tiba pak cik dengar jeritan kuat dari kedai makan berhampiran disusuli dentuman kuat pokok, lalu terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, dia hanya mampu melihat dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kenderaannya.

Iklan
Ismail

Disebabkan itu, Ismail memberitahu, dia agak sedih memandangkan kereta kancil miliknya mengalami kerosakan agak teruk dengan bahagian atas agak remuk, manakala cermin kereta terbabit pecah teruk.

"Walaupun terselamat, pak cik rasa agak trauma selepas mengalami insiden kereta dihempap pokok memandangkan pak cik ada dalam kereta semasa kejadian itu," katanya.

Katanya, dia kini buntu memikirkan nasibnya memandangkan tidak bekerja dan bergantung kepada anak-anaknya untuk menyara hidup.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.43 petang.

Beliau berkata, PGO Kedah telah mengarahkan sepasukan anggota BBP Alor Setar bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

Anggota bomba melakukan kerja memotong pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar, di sini, pada Khamis.

"Setiba di lokasi, terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kereta dan dua mangsa terperangkap di dalam kereta tetapi telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan telah menghubungi pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke lokasi serta membantu kerja-kerja memotong pokok berkenaan.

"Keadaan pokok yang tumbang tidak menghalang lalu lintas dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 petang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!