NEWCASTLE - Seorang lelaki di Britain pada Rabu menafikan tuduhan melakukan kerosakan jenayah bernilai 622,191 pound (RM3.7 juta) selepas menebang salah satu pokok terkenal dan 'paling disayangi' di negara itu.
Daniel Graham, 38, mengaku tidak bersalah memusnahkan pokok sycamore yang sudah berdiri teguh selama lebih 200 tahun di Taman Negara Northumberland.
Pokok yang pernah dipaparkan dalam filem Robin Hood: Prince of Thieves (1991) itu ditemui tumbang pada September lalu hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
"Terdapat kesan cat putih pada tunggul yang jelas menunjukkan ia telah ditebang,” menurut laporan AFP.
Tertuduh membuat penafian itu ketika perbicaraan di sebuah mahkamah di Newcastle dan dibebaskan dengan ikat jamin tanpa syarat sehingga prosiding seterusnya pada 12 Jun depan.
Difahamkan, pokok itu menjadi simbol timur laut England dan pernah memenangi Tree of the Year diberikan Woodland Trust pada 2016 selain menjadi lokasi tumpuan jutaan pengunjung pada setiap tahun.
Usaha sedang dilakukan untuk menanam semula pokok tersebut. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!