Pengundi atas pagar punca PH tewas di Kimanis

Iklan
Sivamurugan Pandian

SHAH ALAM - Penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan kesukaran untuk memenangi hati pengundi atas pagar menjadi punca kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini.

Menurutnya, situasi itu telah mempengaruhi pola kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang selain faktor isu dibawa oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang dilihat lebih signifikan.

Iklan
Iklan

"Pengundi juga menolak sentimen dan ramalan bahawa Warisan yang menguasai kerajaan negeri dan mesra kepada kerajaan Persekutuan di bawah PH bakal meraih kemenangan pada PRK kali ini.

"Saya percaya apa yang berlaku di saat-saat akhir telah membuatkan mereka (pengundi atas pagar) menolak calon PH walaupun Karim adalah calon yang bertanding pada pilihan raya yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Kimanis catat peratusan mengundi tertinggi

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Sivamurugan berkata, dalam mana-mana pilihan raya tiga aspek utama yang sering diberi penekanan adalah calon, jentera parti dan juga isu yang dibawa mereka dalam menentukan kemenangan ataupun sebaliknya.

"Dalam konteks pilihan raya di PRK Kimanis pada kali ini menyaksikan kedua-dua parti telah meletakkan calon yang sesuai dan jentera parti yang kuat sama ada PH dan juga BN.

Iklan

"Bagaimanapun isu-isu yang dibawa BN yang melibatkan Pas Sementara Sabah, royalti minyak, kos sara hidup dan pembangunan dilihat lebih dekat dengan pengundi di Sabah,” katanya.

BN mengekalkan kemenangan di kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dengan majoriti 2,029 undi.

Calonnya, Datuk Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi sementara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang menerima 10,677 undi.