Hukuman mati pendandan rambut diganti penjara 40 tahun

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang pendandan rambut lelaki dengan penjara 40 tahun kerana menculik dan membunuh seorang jurujual wanita 16 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Teh Kim Hong di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Iklan
Iklan

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata, hukuman mati Kim Hong diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara yang bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 September 2008.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abu Bakar Jais, turut memerintahkan agar Kim Hong disebat sebanyak 17 kali.

Iklan

Kim Hong, 37, yang disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2011 kerana membunuh remaja berusia 16 tahun itu di Lot 2841, Jalan Alor Bukit Kulai, Kulai Jaya, Johor pada 12 tengah malam 11 September 2008.

Dia juga didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan kedua menculik mangsa di depan sebuah pasar raya di Jalan Kulai-Air Hitam, Kulai Jaya dengan niat meminta wang tebusan RM60,000 pada 9.45 malam 11 September 2008.

Iklan

Rayuannya sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Mei 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 19 Okt 2015.

Kim Hong didakwa bersama-sama tiga individu lain dengan dua daripada mereka adalah remaja bawah umur yang kemudian didapati bersalah dan ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, manakala seorang lagi dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Terdahulu, peguam KS Pang meminta mahkamah menggantikan hukuman mati Kim Hong dengan penjara atas alasan anak guamnya telah insaf dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati atas alasan Kim Hong dan rakan-rakannya turut membakar mayat mangsa.

Sementara itu, panel sama turut menggantikan hukuman mati seorang warga emas lelaki iaitu A Arokiasamy dengan penjara 33 tahun kerana membunuh adik iparnya, S Ganam, 39, dalam sebuah kereta di Jalan Berjaya 8, Taman Perindustrian Berjaya, Tampoi, Johor Bahru antara 9.30 malam dan 11 malam 19 Julai 2000.

Tengku Maimun mengarahkan Arokiasamy, 73, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Julai 2000.

Peguam, Edmund Bon Tai Soon yang mewakili Arokiasamy berkata, anak guamnya menghidap penyakit jantung, diabetes dan vertigo.

Beliau berkata, Arokiasamy juga tidak boleh berjalan tanpa bantuan kerusi roda.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!