Gaduh-gaduh manja kerana harumanis

Iklan
Mangga harumanis atau nama saintifiknya, Mangifera indica Linn adalah antara buah kegemaran rakyat Malaysia kerana keenakan isinya. Gambar hiasan 123rf

MANGGA harumanis atau nama saintifiknya, Mangifera indica Linn adalah antara buah kegemaran rakyat Malaysia kerana keenakan isinya. Sebagai 'raja mangga', buah ini mempunyai rasa yang manis dan berbau harum, bertepatan dengan namanya harumanis.

Harga harumanis dikatakan mahal dan dianggap buah kayangan, namun sebenarnya bergantung kepada musim. Ketika ini, harumanis boleh mencecah RM25 hingga RM50 sekilogram.

Iklan
Iklan

Faktor penjagaan buah harumanis yang rapi, sukar dan rumit menyebabkan harga harumanis mahal. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding mangga lain, namun harumanis terus mendapat permintaan di seluruh negara.

Selain menjadi buruan penggemarnya, harumanis yang sesuai ditanam di kawasan bercuaca panas terik turut menarik perhatian pengusaha tanaman untuk mengusahakannya memandangkan ia mampu memberi pulangan berganda.

Iklan

Tidak dinafikan, harumanis sinonim dengan Perlis dan ikon negeri Indera Kayangan. Bagaimanapun, ia bukan bermakna tidak ada negeri lain mengusahakan tanaman itu.

Selain Perlis, Kedah turut mengusahakan tanaman itu yang dikenali sebagai Harumanis Kedah ataupun Harumanis D’Aman.

Iklan

Kedah mengambil inisiatif mempopularkan harumanis Kedah melibatkan keluasan ladang seluas 100 hektar yang diusahakan 125 pengusaha.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mendapati, harumanis Kedah kini semakin popular dan mendapat perhatian, sekali gus diyakini mampu mengatasi Harumanis Perlis pada masa akan datang.

Disebabkan itu, beliau berpandangan, harumanis Kedah berpeluang mendominasi pasaran mangga dalam masa terdekat di Malaysia meskipun baru dilancarkan tahun lepas.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli meminta Muhammad Sanusi tidak berangan-angan memandangkan Perlis mempunyai reputasi sebagai pengeluar buah harumanis utama negara dan ia sukar digugat oleh mana-mana negeri termasuk Kedah. Beliau menyifatkan harumanis keluaran Perlis mempunyai keunikan tersendiri dan tidak dapat ditandingi mana-mana negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu turut yakin harumanis Perlis tetap menjadi pilihan utama penggemar mangga itu meskipun Menteri Besar Kedah mendakwa harumanis keluaran Kedah mula mendapat perhatian dan permintaan.

Kewujudan harumanis dari negeri-negeri lain termasuklah Kedah bukanlah satu persaingan dan perlawanan antara satu sama lain tetapi antara kepelbagaian mangga ditawarkan kepada pembeli dalam pasaran.

Usahlah berperang kerana harumanis kerana kedua-dua negeri mempunyai cuaca hampir sama, sekali gus bau dan kualiti mangga sedikit sebanyak hampir menyamai.

Sama ada Harumanis Perlis ataupun Kedah, kedua-duanya sama manis dan harum, malah kehadiran mangga dari pelbagai negeri mampu untuk saling melengkapi, apatah lagi Perlis berdepan situasi pengeluaran terhad.

Harumanis Kedah hadir untuk membantu menampung permintaan dan melengkapi pengeluaran harumanis Perlis. Begitu juga kehadiran harumanis dari negeri-negeri lain.

Rasanya, perebutan harumanis antara Kedah dan Perlis hanya sekadar ‘gaduh-gaduh manja’ dan usikan antara adik-beradik, sekali gus tidak perlu diambil terlalu serius.

Malah, Perlis boleh bekerjasama dengan Kedah ataupun negeri-negeri lain yang mengusahakan harumanis untuk meningkatkan lagi pengeluaran mangga itu dan menampung permintaan masyarakat, serta mempromosikannya ke seluruh dunia.

Mana tahu, satu hari nanti harumanis berpotensi dijadikan sebagai tarikan agropelancongan negara selepas menjadi produk ikonik agropelancongan Perlis sejak sekian lama.

Jadi, apabila sebut sahaja harumanis, maka orang ramai terutamanya pelancong antarabangsa akan teringatkan Malaysia dan terbayang keenakan mangga itu sehingga sanggup terbang beribu kilometer ke Malaysia semata-mata ingin menikmati buah tersebut.

* Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian Biro Kedah.