Nahas tiga lori, laluan ke Slim River terhalang

Iklan
Kemalangan melibatkan tiga lori menyebabkan laluan dari Sungkai ke Slim River terhalang. Foto ihsan bomba

TANJUNG MALIM - Semua lorong di Lebuhraya Utara-Selatan dari laluan Sungkai ke Slim River terhalang selepas berlaku kemalangan melibatkan tiga lori perdagangan di Kilometer 367 arah selatan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, maklumat awal kemalangan maut itu diterima sekitar jam 5.45 pagi.

Iklan
Iklan

"Sebuah lori melintang jalan dan semua lorong terhalang sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13 kilometer.

"Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk keluar ke Tol Tapah, Bidor atau Sungkai sebagai laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan
Kemalangan maut melibatkan tiga lori di KM367 menyebabkan laluan arah selatan terhalang. Foto ihsan bomba Perak

Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sedang dilaksanakan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah lori bermuatan ayam dan dua lori membawa muatan buah-buahan.

Iklan
Kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sedang dilaksanakan. Foto ihsan bomba

"Terdapat seorang mangsa tersepit pada lori muatan ayam terbabit manakala dua pemandu lain mengalami cedera ringan.

"Kerja-kerja penyelamatan terus dilaksanakan dan mangsa kemudian disahkan maut oleh pihak kesihatan," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!