SHAH ALAM - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan usaha di bawah Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK) pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, langkah tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.
"Kemas bergerak sejak 2023 merangka empat teras utama bagi memastikan pendidik bersedia dengan kemahiran diperlukan dalam dunia pendidikan digital semasa seiring dengan tema hari guru tahun ini iaitu ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’.
"Pertamanya dengan meningkatkan keupayaan digital personel melalui pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel dan program kompetensi digital pendidik dengan kerjasama pakar akademik serta pihak industri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Ahmad Kamal Idris, Kemas juga menyediakan ‘talentful’ di mana pendidik yang telah mengikuti kursus dan berkemahiran akan dijadikan sebagai pakar rujuk dalam bidang berkaitan pendidikan digital.
"Seterusnya, Kemas turut fokus untuk membangunkan bahan pembelajaran secara digital melalui penganjuran Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AIMPAK) sebagai usaha mencungkil bakat dalam kalangan pendidik menghasilkan video pembelajaran yang relevan untuk diguna pakai.
"Malah kerajaan turut meluluskan sejumlah RM20 juta tahun ini untuk pelan transformasi digital ini,” ujarnya.
Menurut beliau, melalui pelan transformasi digital itu, Kemas turut berusaha membekalkan kemudahan peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) seperti komputer riba dan akses internet di kelas-kelas Tabika.
"Kemas juga sedang membangunkan sistem tadbir urus secara digital lebih berkesan seperti pengenalan kepada e-Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang dapat membantu pendidik membuat rancangan mengajar secara digital,” ulasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!