IPOH - Seramai 150 orang penduduk di tiga daerah di Perak terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir yang berlaku sejak malam tadi.
Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga jam 8 pagi, daerah Larut Matang dan Selama mencatat bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 78 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Dato' Sagor, Kampung Senduk Seberang, Kampung Batu 8, Kampung Temerlok dan Kampung Nibong.
Menurutnya, kesemua mereka ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Jebong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok.
Sementara itu, bagi daerah Hilir Perak, sebanyak satu PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak bagi menempatkan seramai 42 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Begitu juga di daerah Kuala Kangsar dengan satu PPS dibuka di SK Periang yang menempatkan seramai 30 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Periang, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia turut dikerahkan membantu memindahkan mangsa banjir dari kediaman mereka ke PPS berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!