NILAI - Polis sedang mengesan suspek yang menghantar komen di media sosial berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, artis tersebut membuat laporan di balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pada 14 Mei lalu.
"Ia mengenai satu hantaran di aplikasi Instagram yang dibuat seorang pemilik akaun yang menulis 'ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.
"Kes ini kini disiasat di bawah IPD Nilai kerana ia dipercayai berlaku di kediaman pelakon itu di Lenggeng," katanya dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya, pihaknya meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Instagram berkenaan.
Tambahnya, Naim Daniel juga telah pun dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.
"Saya rasa akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat.
"Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab terhadap komen dibuat dan jangan terlalu mengikut emosi kerana ia akan memakan diri," katanya.
Beliau berkata, buat masa ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini media melaporkan Naim Daniel membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.
Menurutnya, komen yang dilemparkan terhadapnya sudah tersasar daripada konteks asal ciapan di X mengenai isu Blockout2024 yang disuarakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!