SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara tambahan ke atas Israel.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, langkah-langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera dan melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan supaya Israel melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada ICJ.
"Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha Afrika Selatan untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza," katanya pada Jumaat.
Sesi pendengaran awam sedang diadakan di Peace Palace, The Hague dari 16 hingga 17 Mei 2024.
Menurut Wisma Putra, pada 22 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ.
"Ia mengenai kesan perundangan timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur yang telah diadakan di Peace Palace, The Hague," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar.
"Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya.
"Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),"jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!