GUA MUSANG - Etok yang dijual RM6 secawan oleh pasangan warga emas dari Felda Chiku 7, dekat sini licin dalam tempoh tiga jam.
Mat Said, 66, dan isterinya Kamariah Ismail, 63, mampu menjual 130 kilogram etok yang berperisa asli, manis pedas dan tomyam setiap kali berniaga di pasar malam.
Menurut Mat Said, dia dan isteri berniaga makanan eksotik tersebut sejak 35 tahun lalu dan sudah mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa menantikan hasil 'air tangan' mereka.
"Setiap perisa mempunyai peminat tersendiri, walaupun harganya kini terpaksa dijual RM6 secawan ekoran kenaikan harga bahan mentah itu," katanya kepada pemberita.
Ujarnya, etok sentiasa mendapat permintaan tinggi kadang kala mereka pula tidak menang tangan.
Mat Said memberitahu, dengan hasil jualan etok mereka mampu menyara tujuh anak hingga ke menara gading.
Menurutnya, selain etok mereka turut menjual beberapa jenis makanan kudapan lain seperti kacang tanah, jering rebus, ubi keladi dan kacang kuda.
Tambahnya, mereka berdua boleh ditemui pada Khamis di Pasar Malam Gua Musang dan Jumaat di Pasar Malam Chiku 3.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!