TANJUNG MALIM - Tayar lori pecah dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga mengorbankan satu nyawa di Kilometer 367.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Slim River pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 5.45 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai Hoo Yoon Wah, 61, yang memandu lori muatan telur ayam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Bukit Kayu Hitam, Kedah menuju ke Selayang, Selangor membawa muatan buah.
"Kedua-dua lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas menyebabkan lori buah berkenaan melintang di atas jalan dan menutup semua lorong," katanya.
Menurut beliau, kenderaan dipandu mangsa yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar lori terbabit di tengah jalan.
"Akibat kemalangan ini mangsa tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala seorang pemandu berusia 38 tahun dilaporkan cedera parah di bawa mendapatkan rawatan," katanya.
Mohd Hasni berkata, kejadian tersebut menyebabkan kesesakan sejauh dua kilometer dan sebuah lorong dibuka bagi melancarkan aliran trafik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!