Jabatan Perikanan Selangor siasat ribuan ikan asing dibuang di Sungai Hulu Bernam

Iklan
Jabatan Perikanan Selangor memantau dan menjalankan siasatan berhubung pelepasan ribuan anak ikan keli asing di Sungai Hulu Bernam pada Rabu.

HULU SELANGOR - Jabatan Perikanan Selangor telah menjalankan pemantauan dan siasatan berhubung pelepasan ribuan anak ikan keli asing di Sungai Hulu Bernam pada Rabu.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, lima kakitangan Jabatan Perikanan Selangor dan dua kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangor telah diarah untuk menjalankan siasatan di lokasi terbabit.

Iklan
Iklan

"Kita dapat maklumat pelepasan ikan keli asing bukan berlaku di Perak tetapi di Sungai Hulu Bernam di Selangor dan susulan daripada itu kita telah menjalankan siasatan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Noraisyah memberitahu, beberapa sungai di negeri ini dikesan menjadi habitat spesies ikan asing iaitu di Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam serta di beberapa tasik dan juga kolam takungan.

Iklan

Menurutnya, ikan spesies invasif seperti baung ekor merah, peacock bass dan pacu mempunyai keupayaan membiak serta boleh membesar dengan cepat dan terus berkembang.

"Sebahagian ikan-ikan ini juga boleh bertahan pada keadaan air yang tercemar seperti ikan keli Afrika dan ikan bandar raya.

Iklan

Tambah beliau, faktor-faktor yang dikenal pasti menjadi punca lambakan ikan-ikan asing itu adalah dari ritual keagamaan dan membayar nazar.

"Ikan asing ini juga dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium namun kemudian dilepaskan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab ke sistem saliran tempatan apabila tidak lagi mampu mengendalikannya," jelasnya.

Pada 12 Mei lalu, tular satu video memaparkan tindakan beberapa individu didakwa melepaskan ribuan anak ikan di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Perak mengesahkan kejadian tular dalam media sosial itu bukan berlaku di Perak tetapi di Sungai Hulu Bernam di Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!