ALOR SETAR - Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sala di sini menjadi lubuk orang ramai mendapatkan pelbagai jenis siput dan cengkerang setiap hari.
Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati orang ramai sudah berada di jeti sesudah subuh untuk mengasingkan siput yang dibawa pulang oleh bot nelayan.
Seorang peniaga, Esah Bee Ismail 49, berkata, lebih 10 jenis siput dan cengkerang boleh didapati di jeti berkenaan.
"Antaranya kerang bunga, kerang biasa, kerang bulu, kerang susu, siput duri, siput unam,siput sudu/kupang, kepah, siput pinang, retak ribu, mentarang dan belitung," katanya ketika ditemui di Jeti LKIM Kuala Sala di sini pada Jumaat.
Menurutnya, selepas diasingkan mengikut jenis, mereka akan mula menjual sekitar jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari di jeti tersebut.
"Selalunya bukan sahaja orang tempatan, malah luar dari daerah ini pun ada yang mai (datang).
"Ada yang dari Selangor dan Terengganu balik bercuti di kampung, depa (mereka) mai sini cari siput," katanya.
Esah yang juga pemilik bot berkata, setiap hari bot nelayan akan keluar mencari siput terbabit kecuali ketika ribut.
"Semua jenis siput ini ikut musim, tetapi buat masa sekarang kebanyakan ada dan paling murah yang kita jual retak ribu iaitu RM4 sekilogram," katanya.
Jelasnya, lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan orang ramai kerana siput dan cengkerang yang dijual segar, murah dan masih hidup lagi.
Sementara itu, peniaga, Kalsom Mohd Isa,45, berkata, mereka turut menawarkan isi siput yang sudah siap diproses.
"Macam yang saya jual ada isi siput sudu, udang lipan dan kerang yang dijual pada harga RM10 sebungkus.
"Kita faham ada sesetengah pelanggan dia rasa susah atau tiada masa hendak proses sendiri, jadi kita tolong mudahkan mereka," ujarnya.
Seorang pemborong yang dikenali sebagai Lai, 50, berkata, dia tiba dari Perak seawal jam 6.30 pagi untuk mendapatkan bekalan siput dan cengkerang.
"Saya selalu datang ambil di sini sebab murah, bila bekalan habis saya terus datang walaupun jauh masih berbaloi sebab barang segar dan elok," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!