Belia TVET pertanian penting pastikan keterjaminan agromakanan negara

Iklan
Arthur (kiri) ketika sesi Town Hall bersama Pelajar Institut Pertanian Zon Utara diadakan di Institut Pertanian Bumbung Lima, di sini, pada Jumaat.

KEPALA BATAS - Pemerkasaan modal insan dalam sektor agromakanan terutamanya dalam kalangan belia penting untuk pembangunan jangka panjang, selain mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri, serta menjana hasil dan pendapatan yang tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, KPKM berperanan untuk mentransformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik dan kompetitif dengan melatih tenaga kerja berkemahiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan program-program latihan yang berkualiti oleh pusat bertauliah KPKM mampu melahirkan graduan berdaya saing untuk menghadapi cabaran dalam industri agromakanan negara dan seterusnya membangunkan sektor agromakanan berteraskan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).

Arthur (tengah) bergambar bersama Pelajar Institut Pertanian Zon Utara selepas sesi Town Hall di Institut Pertanian Bumbung Lima, pada Jumaat.

"TVET Pertanian yang merangkumi Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK), Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia, dan Sijil Perikanan di bawah KPKM adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan iaitu makan minum, penginapan dan yuran pengajian.

Iklan

"Secara umumnya, pusat bertauliah KPKM mencatatkan peningkatan dalam aspek kebolehpasaran graduan.

"Pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 72.3 peratus berbanding 67.1 peratus pada tahun 2018." katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sesi Town Hall bersama Pelajar Institut Pertanian Zon Utara diadakan di Institut Pertanian Bumbung Lima, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad

Arthur (kiri) ketika meninjau kandang kambing di Institut Pertanian Bumbung Lima, pada Jumaat.

Sementara itu, Arthur berkata, selaras dengan keperluan semasa tenaga kerja sektor pertanian dan agromakanan, KPKM komited untuk mengadaptasi teknologi pertanian terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran di pusat bertauliah KPKM.

Jelasnya, bagi tahun 2024, KPKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM26.3 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur di pusat bertauliah KPKM bagi menyediakan prasarana lengkap dan baik untuk para pelatih merangkumi 14 program pembangunan yang terlibat di seluruh negara.

Beliau percaya usaha ini akan dapat memastikan graduan daripada pusat bertauliah KPKM mempunyai ilmu yang terkini dan boleh digunakan dalam memajukan sektor pertanian negara disamping dapat memenuhi keperluan semasa tenaga kerja mahir di dalam negara.