JOHOR BAHRU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meluangkan masa melawat seorang anggota polis yang menjadi mangsa serangan di balai polis Ulu Tiram, dekat sini pada Jumaat.
Razarudin mengadakan lawatan kebajikan bagi melihat sendiri keadaan mangsa yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam lawatan tersebut, Razarudin diiringi Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat serta Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak.
Mohd Hasif kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Anggota polis tersebut terselamat daripada menjadi mangsa serangan seorang individu bertopeng yang dipercayai anggota Jemaah Islamiah (JI).
Mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi rakan setugas maut diserang suspek yang bersenjatakan parang.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh dan suspek ditembak mati di lokasi kejadian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!