SHAH ALAM – Isu Pas Sementara Sabah (PPS) menjadi faktor utama kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, parti itu berhadapan isu PPS yang bergerak umpama 'bola salji' yang semakin membesar sehingga menghampiri hari pembuangan undi.
Katanya, Barisan Nasional (BN) yang dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan memanfaatkan sepenuhnya isu PSS untuk membentuk gelombang protes dan penolakan terhadap Warisan.
"BN berjaya mengheret isu ini hingga ke hari pengundian, sentimen penolakan terhadap PSS begitu hangat di pusat-pusat pembuangan undi, termasuk jadi bahan untuk petugas-petugas BN merayu undi.
"Walaupun memiliki kelebihan di pertengahan kempen, Warisan tersungkur pada hari penentuan apabila gagal menangani kebimbangan dan ketakutan pengundi terhadap pelaksanaan PSS ini.
"Hari terakhir penyelidik Ilham Centre berada di lapangan iaitu pada 14 Januari lalu, kami mengesan lapan peratus pemilih yang mengundi Warisan dalam PRU14 bersedia memberi undi kepada BN dalam PRK ini kerana memprotes isu PSS,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya malam tadi.
Menurut Mohd Yusri, pihaknya meramalkan Warisan mempunyai kelebihan untuk memenangi pertembungan itu berdasarkan data semasa yang menunjukkan parti itu masih mendahului.
"Namun dalam masa sama menjangkakan kelebihan tersebut akan dirampas sekiranya Warisan gagal menangani isu PSS.
"Situasi tersebut benar-benar berlaku, gelombang PSS tidak terbendung oleh Warisan, tewas dengan majoriti lebih besar kepada BN yang meneruskan rentak kemenangan beberapa siri PRK,” katanya.
Tambah beliau lagi, pengundi Kimanis telah memberi isyarat jelas menolak Kimanis dengan memilih BN dan pilihan mereka perlu dihormati kerana suara rakyat suara keramat.
"Kemenangan di Kimanis ini memberi momentum besar kepada BN menuju PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti. Setelah Semenanjung dan Sabah, BN hanya perlu berkira-kira menyusun strategi untuk bertapak semula di Sarawak bagi melengkapkan seluruh ‘puzzle’ mereka.
"Pakatan Harapan (PH) yang sedang demam teruk memerlukan 'turning point' untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada mereka, sehingga hari ini belum kelihatan tanda-tanda 'feel good' yang boleh mengembalikan sokongan yang mereka perolehi dalam PRU14 lepas,” katanya.
Pada PRK semalam, calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang mendapat 12,706 undi menang dengan majoriti 2,029 menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.
Keputusan itu menjadikan BN memperoleh kemenangan kelima selepas Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.