MAKKAH - Tabung Haji (TH) sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh memberi jaminan segala urusan pembayaran dam dan korban yang diuruskan agensi itu dilaksanakan teratur dan baik.
Pengarah Operasi Kewangan, Anisuati Yahya berkata, ia hasil kerjasama yang telah terjalin sejak 10 tahun lalu bersama institusi perbankan tempatan, Islamic Development Bank (IsDB).
"Semua transaksi boleh dilakukan THiJari dan juga melalui kaunter-kaunter TH yang disediakan di maktab-maktab penginapan jemaah serta di kaunter di tanah air," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini pada Khamis.
Anisuati berkata, untuk jemaah haji, perkhidmatan bayaran ibadah korban boleh disertai oleh bakal jemaah haji dan pendeposit TH menerusi aplikasi THijari.
TH dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing atau kibas dan daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.
Kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing atau kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara Teluk dan benua Afrika.
Sementara itu, Anisuati berkata, sepanjang operasi haji tahun ini, pasukan kewangan diberi tanggungjawab menguruskan aktiviti kewangan terutamanya bayaran utama operasi haji, keperluan tunai ditangan dan memberi khidmat sokongan.
"Khidmat sokongan ini khusus kepada jemaah haji yang menggunakan Kad Debit-i TH dengan menyediakan kaunter perkhidmatan kad,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan anggota pasukan kewangan adalah 21 orang dan dibantu dua orang PATUH yang mahir dengan cara kerja dan persekitaran di Tanah Suci.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!