Air telaga kering, penduduk terpaksa guna air sungai

Iklan
Che Siti Noraisyah mencuci beras di sungai selepas air perigi di rumahnya kering akibat musim kemarau yang melanda ketika ini.

BESUT - Penduduk Kampung Baru Lata Tembakah, Hulu Besut, di sini terpaksa bergantung kepada sumber air sungai untuk mencuci makanan dan pakaian kerana bekalan air perigi telah mula kering.

Menurut Che Siti Noraisyah Che Rezani, 32, mereka terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira tiga kilometer untuk ke Sungai Kachong, di sini untuk mendapatkan air bersih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masalah yang berlaku akibat cuaca panas dan musim kemarau itu telah berlarutan sejak dua bulan lalu.

"Boleh dikatakan hampir 50 keluarga di kampung ini terjejas memandangkan hampir setiap rumah di sini ada perigi sendiri, tetapi, apabila air perigi pun dah kering, kami terpaksa cari sumber bekalan air lain.

Iklan

Che Siti Noraisyah memberitahu, dia akan menunggu tiga anaknya yang masih bersekolah pulang ke rumah sebelum membawa mereka ke sungai untuk mandi.

"Kalau anak dah besar senang sikit nak urus dalam keadaan tak ada air ni. Tapi situasi akan sukar bagi mereka yang mempunyai anak kecil kerana ia melibatkan soal keselamatan," ujarnya.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Che Norasmariza Che Rezani, 20, berkata, selain sungai Kachong mereka juga akan menumpang mandi di kawasan Lata Tembakah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Che Norasmariza menunjukkan air perigi yang telah kering akibat musim panas dan kering yang melanda buat masa ini.

"Kami jarang ke Lata Tembakah kerana ia menjadi lokasi tumpuan ramai untuk aktiviti perkelahan. Lagipun ramai orang luar berkunjung ke situ.

"Sebab itulah kami ke sungai-sungai berdekatan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang akan digunakan untuk memasak," katanya.

Dalam pada itu, Che Norasmariza meluahkan rasa syukur kerana masalah dialami mereka mendapat perhatian pemimpin setempat termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, mereka turut sama membantu mengagihkan bekalan air untuk untuk kegunaan penduduk buat sementara waktu ini.

"Kita juga ada terima bantuan air bersih daripada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU).

"Mereka turut menempatkan beberapa tangki statik di kawasan kampung bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!