KUALA LUMPUR - Hasrat Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar untuk membawa keluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman bapanya di Kelantan tidak kesampaian selepas maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.
Lebih menyedihkan, percutian bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya itu dirancang Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, yang mesra disapa Ami, bagi"menebus" masa bersama keluarga yang tidak dapat dipenuhi pada Aidilfitri baru-baru ini kerana tuntutan tugas.
Azza Asyariena Azhar, 27, kakak kepada Allahyarham berkongsi adiknya itu sering meluahkan hasrat berkenaan ketika membuat penggilan video bersama keluarga.
"Dia memang cakap nak balik bercuti hujung bulan Jun ini dan bawa keluarga pergi jalan-jalan,” katanya.
Anak kedua daripada lapan beradik itu juga menyifatkan Ahmad Azza Fahmi seorang yang sangat baik dan murah dengan senyuman selain tidak pernah berkira dengan keluarga.
"Dalam kalangan rakan-rakannya, mungkin Ami seorang yang pendiam, tetapi dalam keluarga mulut arwah paling riuh dan arwah ini sangat ringan tulang.
"Dia suka sangat mengusik adik-adiknya. Ami memang seorang family man, dia sentiasa ada ketika kami memerlukannya,” katanya sambil menambah Allahyarham bertugas di Balai Polis Ulu Tiram sejak dua tahun lepas.
Azza Asyariena berkata kenangan berbuka puasa beramai-ramai dua bulan lepas merupakan kali terakhir mereka bertentang mata secara fizikal dengan anak keempat itu.
"Kami memang boleh dikatakan hari-hari akan (buat) panggilan video dengan semua adik-beradik. Kami akan kemas kini urusan harian masing-masing. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian,” katanya.
Beliau berkata, jenazah Ahmad Azza Fahmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak hari ini atau awal pagi esok selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, sahabat Allahyarham, Mohammad Munsyi Aziz Abdullah, 21, pula tidak menyangka panggilan video antara mereka dua hari lepas adalah yang terakhir.
"Kami mempunyai minat yang sama berkaitan motosikal, selalunya kami akan sembang berkaitan perkara itu (motosikal) dan cerita kehidupan semasa masing-masing.
"Arwah seorang yang sangat baik dan dia tidak kedekut dengan kawan-kawan. Semenjak dia bekerja sebagai polis, setiap kali keluar makan (jika balik bercuti), dia akan belanja makan,” katanya yang membesar bersama Allahyarham di Kampung Poh.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!