SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN bakal mengeluarkan kenyataan selepas memperoleh segala maklumat lengkap berhubung kejadian tersebut.
"Aspek keselamatan akan terus dipertingkatkan pada tahap maksimum di semua lokasi yang berisiko,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian jam 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berumur 21 tahun manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Kedua-dua anggota yang meninggal dunia ketika sedang bertugas dalam kejadian serangan ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mendoakan Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera akibat ditembak agar diberikan kesihatan dan kesembuhan dengan segera.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!