SHAH ALAM - Sebilangan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menyokong gesaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) supaya berpakaian hitam dalam kempen #MahasiswaUiTMBantah pada Khamis.
Perkara tersebut dikongsikan oleh salah seorang mahasiswa dari fakulti undang-undang, Nurul Izzah Saad, 24 menerusi gambarnya di platform X dan mendakwa semua mahasiswa yang menghadiri kelas pada ketika itu tidak memakai baju hitam.
Nurul Izzah berkata, dia tidak bersetuju dengan gesaan tersebut kerana merasakan kenyataan MPP mengenai isu itu mengelirukan para pelajar, sekali gus bertindak tidak memakai baju hitam pada hari berkenaan.
"Dan cadangannya adalah untuk sementara sahaja. Jadi gesaan MPP yang ingin membuat kempen untuk mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan itu agak mengelirukan bagi pelajar-pelajar lain.
"Sebab itu saya tidak setuju dengan kempen tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Rabu, Persatuan Pelajar UiTM membantah keras sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera walaupun cadangan itu hanya untuk program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks.
Sehubungan itu, MPP UiTM menggesa pelajar memakai pakaian hitam pada Khamis dan menggunakan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan kepada kempen tersebut.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menerusi hantaran di platform X pada Khamis, turut berkongsikan gambar suasana di mana kebanyakan pelajar-pelajar UiTM tidak berpakaian warna hitam ketika dalam kelas.
Salah seorang pengguna platform X, @amirxddn turut mendakwa keadaan sama boleh dilihat di kawasan tempat makan para pelajar.
"Saya boleh sahkan (perkara tersebut). Pergi Dataran Cendekia, elok sahaja semua (berpakaian) warna-warni,” katanya dalam ruangan komen di hantaran berkenaan.
Seorang lagi pengguna platform X, @lollybeast, berkata, para pelajar fakulti komunikasi dan pengajian media juga dilihat tidak memakai pakaian hitam sebagai tanda sokongan kepada kempen terbabit.
"Sama juga dengan fakulti masscom, kita memang tidak peduli (dengan kempen itu), sebab pelajar masscomm dah macam pertunjukan fesyen kalau pergi kelas,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!