IPOH - Keadaan banjir yang melanda Perak semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 537 orang daripada 152 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah terjejas, setakat jam 4 petang pada Jumaat.
Ia berbanding sejumlah 150 mangsa terjejas daripada 54 keluarga yang dilaporkan di enam PPS jam 9 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan penambahan jumlah mangsa terjejas banjir menyebabkan empat lagi PPS dibuka pagi tadi.
"Daerah Taiping mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 382 mangsa daripada 109 keluarga melibatkan 10 kampung berikutan berlakunya ban pecah akibat hujan luar biasa.
"Mereka telah ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Sungai Baru, DOR Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8, Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok, DOR Batu Hampar dan SK Matang Gelugor," katanya di sini.
Menurutnya, daerah Kuala Kangsar pula mencatatkan seramai 110 mangsa dari 32 keluarga.
"Kesemua mangsa ditempatkan di SK Periang, SK Temong dan DOR Kampung Talang Masjid," katanya.
Tambahnya, daerah Hilir Perak pula melibatkan 45 mangsa dari 11 keluarga Batu 9, Jalan Changkat Jong dan kesemuanya ditempatkan di Dewan Serbaguna Padang Tembak.
Sementara itu, sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Iskandar, Kuala Kangsar menunjukkan paras berjaga-jaga.
"Paras Sungai Kerian mencatatkan paras 12.22 meter berbanding paras normal 10 meter manakala Sungai Perak menunjukkan pada paras 35.64 meter berbanding normal 32 meter," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!