SIRI 2
PENSYARAH Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menyifatkan, dalam mengharungi alam rumah tangga, cinta sahaja tidak mencukupi kerana pasangan suami isteri harus saling mempercayai dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Pada masa sama, ujar Siti Fatahiyah, kedua-duanya juga perlu memiliki ilmu, iman dan adab yang terbaik bagi mewujudkan institusi keluarga yang harmoni.
"Tanpa nilai-nilai tersebut, bimbang rumah tangga yang sebelum ini dibina atas dasar cinta terlerai begitu sahaja.
"Justeru, bermulalah konflik dan pergaduhan sehingga mendorong para suami bertindak menceraikan isteri secara zalim meskipun dalam keadaan hamil atau membiarkan wanita digantung tidak bertali. Walhal, tindakan sedemikian tidak berlandaskan syariat Islam," katanya.
Firman ALLAH SWT:"Wahai orang-orang yang beriman! Tidak halal bagimu mewarisi perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
"(Dan) bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal ALLAH menjadikan kebaikan yang banyak padanya." (Surah al-Nisa', ayat 19).
ALLAH SWT juga berfirman:"Talak (yang boleh dirujuk semula) itu dua kali. (Setelah itu suami dapat) menahan dengan baik atau melepaskan dengan baik. Tidak halal bagimu mengambil kembali sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka kecuali kedua-dua (suami dan isteri) khuatir tidak mampu menjalankan hukum-hukum ALLAH." (Surah al-Baqarah, ayat 229).
Mengulas lanjut, Ustazah Siti Fatahiyah berkata, ayat-ayat al-Quran tersebut jelas menunjukkan jika seorang suami mendapatkan dan mengahwini isteri dengan cara yang baik, maka ceraikanlah mereka secara baik selepas habis tempoh idah.
Ayat berkenaan juga menjelaskan, suami berkuasa menjatuhkan talak kepada isteri, tetapi perlu memenuhi rukun talak.
"Henti menggunakan alasan bahawa dalam al-Quran menjelaskan lelaki dibenarkan berkahwin satu, dua dan tiga, tetapi apabila bercerai mereka tidak pula mengikut seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran," tegas beliau.
Menjawab persoalan mengenai hukum suami menceraikan isteri yang sedang hamil, Ustazah Siti Fatahiyah turut merujuk kepada Surah al-Talaq (ayat 4) yang membawa pengertian:
"(Dan) perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, nescaya ALLAH memudahkan baginya segala urusan."Katanya lagi, jika wanita diceraikan pada bulan pertama kehamilan, maka masa yang panjang untuk menunggu tempoh idah. Namun begitu, sekiranya diceraikan sehari sebelum bersalin tempoh idah akan tamat serta-merta.
"Bagaimanapun, tanggungjawab lelaki tidak berakhir di situ kerana selepas bercerai mereka wajib menitikberatkan soal nafkah kepada isteri. Jika tidak ditunaikan dengan sempurna, ia dianggap sebagai hutang. Umum mengetahui, hutang sememangnya wajib dibayar," katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai cara terbaik pasangan bebas daripada anasir negatif dan perceraian, Ustazah Siti Fatahiyah berkata:"Setiap dugaaan yang berlaku ada hikmahnya, ALLAH tidak akan menguji seseorang hamba-NYA dengan perkara yang tidak mampu ditanggungnya.
"Justeru, sentiasa meminta bantuan daripada ALLAH dengan sabar dan jangan sesekali lalai menunaikan solat lima waktu termasuk solat tahajud, dhuha dan istikharah. Jangan lupa mengamalkan doa-doa terbaik agar YANG MAHA ESA sentiasa melindungi hubungan suami isteri."
Artikel berkaitan:
ANEKDOT
- Borak Bibir Merah Sinar Harian merupakan rancangan bual bicara kendalian akhbar Sinar Harian.
- Pengisian program tersebut adalah membincangkan isu-isu berkaitan wanita, keluarga dan kanak-kanak.