MAKKAH - Hajat ibu bapa yang mahu semua anaknya menunaikan haji di usia muda termakbul apabila lima daripada enam anak mereka bersama tiga menantu terpilih menjadi jemaah haji bagi musim 1445M/2024.
Rezeki itu adalah hasil perancangan dan simpanan wang selama lebih 18 tahun yang dilakukan oleh Abdul Wahab Md Saad serta Norani Mohamed Noh.
Dalam tempoh itu, wang hasil pendapatan sebagai pekerja swasta dan jururawat dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji setiap bulan bagi memastikan anak-anak mereka dapat menunaikan ibadat Rukun Islam kelima itu.
Seorang daripada anak mereka, Mohamad Fadhzli Abdul Wahab 29, berkata, walaupun ibu bapa tidak dapat bersama-sama ke Tanah Suci, namun semangat dan pesanan tetap menjadi ingatan mereka lapan beranak.
Menurutnya, ibu bapa sememangnya mahu mereka mengerjakan haji di usia muda agar dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan sihat.
"Kami didaftarkan secara serentak pada 2009 oleh ibu bapa kami. Mereka mulakan menabung untuk semua anak sejak kecil lagi secara bulanan sehinggalah kami berumur 18 tahun.
"Apabila berumur 18 tahun kami teruskan usaha tersebut sehinggalah permohonan kami diterima serentak,” katanya yang merupakan anak keempat.
"Tabungan kami sejak kecil memang ada kerana ibu berniat agar semua anaknya pergi haji bersama-sama,” jelasnya.
Mohd Farid Firdaus Abdul Wahab, 35, pula berkata, kehidupan mereka sekeluarga tidak semudah yang disangka walaupun ibu bapanya bekerja.
"Dahulu kami susah. Ibu pun bermula dari bawah dan dia sanggup buat potongan gaji sedikit demi sedikit.
"Walaupun susah ibu tetap bertahan tetapi itulah pengorbanan seorang ibu yang kita tidak tahu kesusahan ditanggung mereka sehingga tinggal beberapa ringgit sahaja.
"Atas pengorbanan mereka, kami dapat menunaikan haji,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!