KUALA TERENGGANU - ‘Port judi' di kawasan perkuburan di Jalan Banggol akhirnya dirobohkan dalam operasi pembersihan besar-besaran melibatkan beberapa agensi kerajaan di sini.
Selain binaan yang dijadikan tempat untuk kaki-kaki judi melakukan aktiviti mereka, operasi pembersihan itu turut melibatkan kawasan semak samun di kawasan perkuburan itu.
Adun Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, operasi berkenaan melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), dengan kekuatan anggota kira-kira 40 orang.
"Kita difahamkan, lokasi tersebut menjadi tempat mereka melakukan maksiat dan berjudi. Kita memandang serius perkara ini, sebab itu operasi ini diadakan supaya kawasan perkuburan ini tidak dicemari dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, termasuk yang bercanggah dengan agama.
"Operasi ini bukan sahaja untuk membersihkan kubur daripada semak samun, tetapi kita juga meroboh dan membersihkan kawasan perkuburan daripada binaan dan tempat yang dijadikan sarang bagi kaki-kaki judi ini,” katanya yang turut menyertai operasi pembersihan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat setempat memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan memandangkan mereka sudah tidak tahan dengan aktiviti judi di kawasan itu.
Jelasnya, operasi itu tidak akan terhenti sebaliknya beliau dan agensi berkaitan akan terus memantau lokasi berkenaan dan beberapa lokasi lain yang dilaporkan turut dijadikan tempat aktiviti yang tidak bermoral dan bercanggah dengan peraturan.
"Kita yakin operasi ini sedikit sebanyak dapat memusnahkan dan menghalang aktiviti tidak bermoral dan bercanggah dengan agama. Sudah menjadi tanggungjawab kepada pemerintah untuk memastikan negeri dan rakyat berada dalam keadaan selamat dan mematuhi undang-undang dan syariat ALLAH,” katanya.